SUBANG, 8 Julai – Ketua Penerangan UMNO Selangor, Dato Hj Zein Isma Bin Hj Ismail berkata parti baru yang ditubuhkan oleh Tun Mahathir itu tidak ada bezanya dengan parti-parti pembangkang lain seperti PKR dan juga Parti Amanah Negara yang mana perjuangannya bukanlah untuk agama, bangsa dan negara tetapi lebih berkiblatkan kehendak politik peribadi dan kuasa.

Menurut beliau, matlamat Tun Mahathir menubuhkan parti baru itu jelas hanya bermatlamatkan untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan juga presiden UMNO, tidak lebih dari itu.

“Jadi apa bezanya parti baru yang ditubuhkan Tun Mahathir dengan parti pembangkang lain contohnya seperti PKR. PKR juga ditubuhkan hanya bermatlamatkan semata-mata kerana seorang individu iaitu Anwar Ibrahim.

“Samalah juga kesnya dengan parti Tun Mahathir yang baru beliau nak tubuhkan. Perjuangan parti baru itu hanyalah nak jatuhkan Datuk Seri Najib sahaja. Persoalannya, katakanlah Datuk Seri Najib meletakkan jawatan dan diganti dengan presiden atau perdana menteri yang baru, apa yang akan berlaku pada parti baru Tun Mahathir itu? Adakah parti itu akan kekal atau dibubar, memandangkan Tun Mahathir tubuhkan parti baru itu semata-mata untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung hasrat Tun Mahathir yang mahu menubuhkan parti baru dalam usahanya untuk mendesak Datuk Seri Najib meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Tambah beliau lagi, hasrat Tun Mahathir yang mahu menubuhkan parti baru itu turut memperlihatkan nawaitu mantan perdana menteri itu  hari ini lebih menjurus kepada agenda peribadi beliau tersendiri.

“Tun Mahathir hari ini menyerang Datuk Seri Najib hanya berdasarkan laporan daripada pihak asing, contohnya Sarawak Report dan Wall Street Journal. Sedangkan kedua-dua akhbar itu pernah menuduh beliau yang menyebabkan negara hilang RM100 bilion di zaman pemerintahannya. Ketika akhbar tersebut menyerangnya, Tun bidas dan kata akhbat itu tidak boleh dipercayai dan ada agenda untuk masuk campur dalam kepimpinan negara.

“Tetapi apabila dua akhbar itu menyerang Datuk Seri Najib, beliau percaya pula. Bukan sekadar percaya, malah beliau menggunakan laporan akhbar itu untuk menyerang Datuk Seri Najib. Bagaimana beliau hari ini boleh mempercayai sebuah akhbar yang dulunya beliau kata sebagai penipu dan pemfitnah?

“Sebab itu kita lihat dalam permainan politik ini, ada tersirat agenda politik Tun Mahathir tersendiri. Sikap dan kata-kata beliau hari ini amat bercanggah dengan apa yang menjadi prinsip beliau sebelum ini. Beliau sanggup mengorbankan segala prinsip yang dipegangnya dalam berpolitik sehingga sanggup duduk semeja dengan pembangkang, khususnya DAP.

“Pandangan saya, Tun Mahathir mahu mengangkat seorang pemimpin yang boleh tunduk dan akur dengan kata-katanya.Seperti mana kata Datuk Seri Najib baru-baru ini bahawa Tun Mahathir masih lagi mahu masuk campur urusan pentadbiran negara. Jika ada pemimpin yang tunduk dan akur kepadanya, maka ia lebih mudah untuk beliau mempengaruhi pemimpin tersebut mendengar kata-kata atau pendapatnya,” jelas Zein lagi.

Justeru itu, beliau menyeru kepada rakyat, khususnya orang Melayu agar tidak terpengaruh dengan dakyah-dakyah yang dilemparkan oleh pihak pembangkang, khususnya Tun Mahathir kepada kepimpinan UMNO hari ini.

“UMNO sejak dari penubuhannya sehingga ke hari ini, matlamat perjuangannya amat jelas. Ia tidak berkiblatkan kepada perjuangan individu atau peribadi, tetapi perjuangan UMNO adalah untuk Islam, bangsa Melayu dan juga tanahair. Itu jelas.

“Namun parti-parti baru serpihan dari UMNO seperti PKR dan terbaru parti yang mahu ditubuhkan oleh Tun Mahathir ini, matlamat perjuangan untuk Islam, bangsa dan negara tidak jelas. Apa yang jelas penubuhan parti tersebut hanyalah semata-mata mahu menjatuhkan kepimpinan negara yang sedia ada dan tidak ada matlamat lain selain itu,” ujarnya.