Pada pukul 11.30 malam semalam waktu tempatan, Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (Department of Justice – DOJ) telah mengadakan satu sidang akhbar bagi membentangkan satu kes untuk merampas aset-aset yang didakwa dibeli menggunakan dana daripada 1MDB. Turut dinyatakan bahawa dana ini telah dicuri oleh beberapa individu bagi membeli aset, barangan mewah dan juga bagi membiayai pembikinan sebuah filem. Ia juga menamakan salah seorang penerima dana tersebut sebagai “Malaysian Official 1”. Namun, Peguam Negara AS Loretta Lynch tidak mendedahkan siapakah individu yang dirujuk dengan “Malaysian Official 1”

Berikut merupakan nota penerangan bagi menyatakan fakta-fakta kes

• Kes ini bukanlah kes jenayah. Ia merupakan aduan awam di mahkamah AS. Oleh itu, keputusan muktamad dalam kes ini merupakan rampasan aset daripada beberapa individu terbabit dimana semua aset-aset ini akan dipulangkan ke Malaysia.

• 1MDB telahpun mengeluarkan kenyataan bahawa “ia bukanlah pihak yang didakwa dalam aduan tersebut, tidak mempunyai sebarang aset di Amerika Syarikat, dan tidak pernah menerima sebarang keuntungan daripada pelbagai transaksi yang dinyatakan dalam kes tersebut”

• Ia juga menyatakan bahawa “1MDB tidak pernah dihubungi oleh Jabatan Keadilan AS atau mana-mana agensi luar lain berhubung penyiasatan mereka.”

• Oleh yang demikian, bagaimana pihak berkuasa boleh benar-benar pasti yang wang tersebut telah dicuri atau hilang atau seseorang itu merupakan mangsa dalam satu jenayah, melainkan mangsa tersebut terlebih dahulu ditemuduga dan ditanya soalan, memandangkan mangsa tersebut bersedia untuk bekerjasama dengan sebarang penyiasatan?

• Tidak ada sebarang cadangan bagi mendakwa individu-individu yang terlibat dan nama YAB PM tidak dinyatakan di mana-mana. DOJ tidak menamakan YAB PM dalam aduan mereka memandangkan kes ini tidak ada kena mengena dengan beliau. Kes pada masa ini adalah bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah AS bagi merampas aset-aset daripada individu terbabit yang didakwa terlibat dalam penyelewengan.

• Bila ditanya oleh seorang wartawan mengenai identiti “Malaysian Official 1”, Lynch menyatakan bahawa beliau tidak boleh menamakan individu tersebut. Ini menunjukkan bahawa DOJ sendiri tidak 100% pasti dengan fakta mereka.

• Perlu ditegaskan di sini bahawa dana yang disalurkan kedalam akaun YAB PM yang dipegang secara amanah untuk parti, merupakan derma daripada Kerabat Diraja Saudi. Ini telah disahkan dalam surat yang didedahkan oleh Wall Street Journal Sendiri. Tidak ada sebarang tanda-tanda penipuan dan tidak pernah ada sebarang keraguan mengenai kesahihan sumber dana tersebut memandangkan Kerabat Diraja Saudi memang terkenal dengan kekayaan mereka yang datang daripada pelbagai sumber, yang mana mereka selalu dermakan kepada negara-negara Muslim di seluruh dunia.

• WSJ juga telah mengesahkan bahawa dana daripada Kementerian Kewangan Saudi telah didepositkan ke dalam akaun tersebut dan kewujudan derma tersebut *telah DISAHKAN oleh Menteri Luar Arab Saudi Adel-Al Jubeir*. YAB PM telah menerima derma politik tersebut dengan niat yang baik dan tidak melanggar sebarang undang-undang dalam menerima wang tersebut. YAB PM sudah menceburi bidang politik selama 40 tahun dan sedia maklum bahawa derma politik adalah perkara normal dan tidak ada sebarang perkara yang mencurigakan dalam derma politik yang dibuat oleh Arab Saudi.

• 70% daripada derma politik tersebut telahpun dipulangkan. Memandangkan bahawa dana yang berada dalam akaun amanah parti tersebut datang daripada pelbagai sumber, seperti derma daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi, penderma biasa dll, bagaimana seseorang dapat menentukan wang dari sumber manakah yang digunakan untuk aktiviti apa atau tujuan apa.

• Akan tetapi, WSJ juga telah mengakui bahawa sebahagian besar wang yang digunakan adalah untuk tujuan kebajikan (CSR) dan bagi membiayai pilihanraya. Jikalau YAB PM ingin mencuri wang tersebut, mengapa beliau memulangkan semula dana lebihan yang tidak digunakan?

• Akan ada pelbagai tuduhan yang akan dilemparkan kepada PM, keluarganya dan parti dalam beberapa hari akan datang. Sejak dari mula lagi, tiada siapa yang menentang PM berminat untuk mendapatkan jawapan atau kebenaran, tetapi untuk menjatuhkan seorang PM dan kerajaan yang dilantik secara demokrasi.

• Jangan percaya dengan sebarang tuduhan daripada pihak pembangkang. Sebarang perlakuan jenayah masih dalam siasatan dan individu yang bersalah tetap akan dihadapkan ke muka pengadilan.

Analisis Kisah Saman Sivil Jabatan Kehakiman AS ke atas 1MDB

1. Pertama, ia bukan saman sivil atau pendakwaan terhadap 1MDB atau Perdana Menteri Najib Razak. Ia adalah saman sivil untuk merampas, mengambil alih dan membekukan aset yang dikatakan dibeli menggunakan dana yang ‘dicuri’ dari 1MDB.

2. Kedua, kenapa saman sivil ini dibuat? Ia adalah berdasarkan aduan yang dibuat kepada Inisiatif Penemuan Semula Aset Kleptocracy, Jabatan Kehakiman AS. Ia bukan pendakwaan sebaliknya hanya inisiatif untuk memperoleh semula aset yang dikatakan sebagai hasil dari kegiatan haram dan korupsi.

3. Ketiga, siapakah yang didakwa? Tiada seorang pun dari dalam senarai nama di dalam aduan tersebut yang didakwa atas sebarang kesalahan jenayah. Sebaliknya ini adalah inisiatif kerajaan AS untuk membekukan aset-aset yang terbabit. New York Times melaporkan “The people named in the complaint have not been charged with crimes. The defendants in an asset forfeiture case are the properties that the government wants to seize. But an asset complaint does not preclude criminal charges.”

4. Keempat, aset apakah yang hendak dibekukan? Antaranya adalah hartanah mewah di New York and California, lukisan Monet dan Van Gogh, serta sebuah jet Bombardier. Semua senarai aset ini adalah berdasarkan aduan yang dibuat kepada Jabatan Kehakiman AS.

5. Kelima, siapakah pemilik aset-aset ini? Sehingga kini tidak disebut siapa pemilik aset-aset ini. Saman ini cuma menamakan Riza Aziz, Jho Low, Mohamed Badawy al-Husseiny, Khadem al-Qubaisi dan seorang lagi yang dinamakan hanya sebagai Malaysian Official 1 sebagai pihak yang terlibat. Nama-nama ini adalah berdasarkan laporan yang dibuat kepada Jabatan Kehakiman AS.

6. Keenam, apakah prosedur untuk rampasan aset ini? Pertama, mahkamah perlu memastikan tiada sebarang pihak lain yang membuat tuntutan terhadap aset ini. Kedua, selepas pemilik aset ini ditentukan, mahkamah perlu memutuskan sama ada wang yang digunakan untuk membeli aset ini benar-benar berpunca dari sumber yang haram. Selepas semua ini dibuktikan, barulah kerajaan AS boleh merampas aset ini.

7. Ketujuh, apakah yang akan dilakukan terhadap aset-aset ini? Jabatan Kehakiman AS akan menjual aset-aset ini dan memulangkan kembali wang yang yang diperolehi dari penjualan aset ini kepada Malaysia.

8. Kelapan, adakah 1MDB terlibat? 1MDB telah membuat kenyataan rasmi bahawa ia bukan pihak yang terlibat dan tidak mempunyai sebarang aset di AS.