KUALA LUMPUR, 19 Julai – Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Zein Isma Ismaial beranggapan bahawa penangguhan pemilihan Dap seperti yang diumumkan oleh Setiausaha Penganjur Dap, Anthony Loke merupakan langkah untuk menyelamatkan karier politik Lim Guan Eng yang kini sedang bergelut dengan skandal rasuah pembelian banglo peribadinya baru-baru ini.

Beliau berpandangan, pemilihan tersebut ditangguhkan untuk mengelakkan Lim Guan Eng daripada tersingkir untuk memegang jawatan-jawatan penting di dalam parti tersebut.

Zein Isma“Kita semua tahu bahawa Dap merupakan parti Dinasti Lim. Dalam keadaan Guan Eng sedang berasak dan bergelut dengan keterlibatannya dalam isu rasuah pembelian banglo. Sudah tentu sekiranya pemilihan parti diadakan, perwakilan tidak akan memberikan beliau sekeping undi kerana mereka pastinya malu untuk memilih seorang individu yang terbabit dengan rasuah menjadi pemimpin.

“Sebab itu, saya berpandangan bahawa penangguhan pemilihan Dap ini bukanlah suara majoriti ahli dan kepimpinan dalam parti tersebut, namun oleh kerana Dap merupakan parti di mana wujudnya dinasti kekeluargaan Lim di dalamnya, maka ia penangguhan ini adalah sebagai langkah untuk menyelamatkan Guan Eng tersingkir daripada memegang jawatan tertinggi di dalam parti,” jelas beliau kepada UMNO Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pengumuman Dap untuk menangguhkan pemilihan parti sehingga ke tempoh 18 bulan.

Tambah Zein, ada kemungkinan juga pemilihan parti tersebut ditangguhkan kerana bimbang sekiranya ianya diteruskan, suasana pemilihan pastinya akan menjadi lebih panas memandangkan senario politik Dap dalam keadaan caca merba dan semakin lemah.

“Saya berkeyakinan besar kemungkinan pemilihan ini ditangguhkan kerana bimbang akan berlakunya perkara-perkara yang boleh mencemarkan imej Dap. Ini memandangkan pemimpin Dap berada di dalam keadaan yang agak tertekan ekoran hilang kerusi dalam PRN Sarawak, perbalahannya dengan Pas sehingga berpecahnya pakatan rakyat, kekalahan parti tajaan mereka PAN di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, dan diburukkan lagi dengan skandal rasuah Guan Eng.

“Dalam keadaan isu-isu yang saya sebutkan tadi belum berlaku, pemilihan dalaman Dap pada dua tahun lepas tetap panas apabila lebih 700 ahli parti tersebut mendakwa Dap menafikan hak mereka untuk mengundi.

“Jadi berdasarkan senario itu, sudah tentulah  jika Dap meneruskan pemilihan tahun ini dengan pelbagai kemelut yang sedang  berselirat melanda parti itu, pemilihan tahun ini  akan menjadi bertambah panas berbanding dua tahun sebelumnya malah ada  kemungkinan ahli-ahli Dap sendiri akan memberontak terhadap kepimpinan parti yang sedia ada hari ini,” ujarnya.

Ihsan : MediaUMNO