“Maka ambillah (kejadian itu) untuk menjadi pengajaran, wahai orang orang yang mempunyai penglihatan”, (Al-Hasyr,2)(1).

Pada Nov 1491, Sultan Muhammad yang menjadi pemerintah terakhir kerajaan Granada di Sepanyol terpaksa menyerahkan Granada kepada Raja Ferdinand melalui satu perjanjian. Semasa Sultan Muhammad keluar dari kota Granada menuju ke bukit pada Jan 1492, beliau sempat menoleh ke kota Granada dan menitiskan air mata kesedihan.

Ibunya yang melihat kejadian tersebut memarahi dan berkata kepadanya “Janganlah kamu menangis seperti perempuan kerana kamu tidak mampu mempertahankan Granada selayaknya sebagai seorang lelaki”.

Granada merupakan kerajaan Islam terakhir di Sepanyol, sebelumnya merupakan jajahan di bawah kerajaan bani Umayyah. Kerajaan Islam termoden di benua eropah ketika itu. Granada kemudiannya berpisah dari kerajaan bani Umayyah dan mengishtiharkan menjadi kerajaan merdeka.

Benar Sungguh Dalil Allah.

Kejatuhan menyedihkan kerajaan Granada kepada kerajaan Kristien Sepanyol adalah disebabkan pemimpin yang ada ketika itu tidak menjaga perpaduan rakyat. Kalangan pemimpin ini tidak ikhlas dan berpura pura dengan pemerintah dalam memastikan perpaduan rakyat utuh, mereka lebih gemar dan sentiasa berusaha menjatuhkan pemerintah  agar cita cita politik mereka tercapai.

Apabila perbalahan sentiasa berlaku, maka Allah telah takdirkan mereka semua tersungkur dalam peperangan menentang Raja Ferdinand. Takdir ini berlaku di sebalik janji Allah pada ayat 46 surah Al-Anfal, “Dan janganlah kamu bersengketa, kerana persengketaan akan menyebabkan kamu gagal dan hilang kekuatan kamu”(2).

Sesunguhnya kita semua menerima kejadian ini sebagai takdir Allah, malangnya kita sama sekali tidak mahu mengambil iktibar, menginsafi dan bertindak agar kejadian sebegini tidak berlaku kepada kita di zaman ini. Ketahuilah betapa ruginya bila kita “membutakan mata dan hati” terhadap takdir Granada.

SEJARAH DALAM NEGARA KITA

Parti PAS merupakan pecahan daripada parti UMNO, dimana sekarang ini UMNO dan PAS berada dalam pasukan berbeza yang mempunyai pandangan berbeza. Walaupun ada perbezaan pandangan antara UMNO dan PAS, wujud satu persamaan ketara antara kedua dua parti ini iaitu kita semua menyembah tuhan yang satu. Inilah hakikat yang sesiapa pun tidak nafikan.

Fitnah perpecahan yang berlaku terhadap UMNO dan PAS sebelum ini telah pun dikhabarkan oleh Allah melalui banyak dalil sahih. Perpecahan yang telah berlaku merupakan takdir “Kauni” (Kehendak Allah). Walaupun begitu ia tidak membawa erti kita wajib berpecah belah.

Sesungguhnya ketahuilah perpecahan ini merupakan satu ujian kepada kita semua sebagai orang yang beriman agar kita semua berusaha mencari titik persamaan untuk dijadikan asas perpaduan agar kekuatan kita sebagai umat Islam semakin kukuh dan kita tidak menjadi seperti takdir Granada, sebuah kerajaan Islam terakhir di Sepanyol yang menyerah kalah kepada Raja Ferdinand disebabkan runtuhnya perpaduan dikalangan rakyat.

Usaha Dato Sri Mohd Najib Dalam Memperkasakan Suruhan Allah.

Pada Perhimpunan Agong UMNO 2015 (PAU 2015), Dato Sri Mohd Najib (DSN)secara sedar, penuh kerendahan diri, menyedari tanggungjawab sebagai pemimpin serta berani bertindak memulakan salam persahabatan dan perpaduan kepada parti PAS. Tindakan DSN ini bukanlah satu tindakan kepura puraan atau tindakan terdesak atas sentimen semasa. Beliau memulakan salam perpaduan ini berdasarkan asas dari surah An-Nisa ayat 128,”Perdamaian itu lebih baik” (3), disamping beliau juga menyedari keperluan mengambil pengajaran dari takdir Granada selaras dengan dalil (1).

Malah ketika di PAU 2015, DSN juga menegaskan berkenaan  beliau serta ahli kabinet berusaha menerapkan ciri ciri syariah semampu yang boleh dalam pentadbiran agar ia selaras dengan maksud penubuhan parti UMNO pada Fasal Perlembagaan 3.3.

Dato Sri Mohd Najib Bertindak Selaras Dengan Ucapan Beliau

Peristiwa yang berlaku sesudah ucapan DSN di PAU 2015, sudah cukup menunjukkan petanda awal bahawa DSN tidak bersikap kebudak budakan apabila menyentuh isu perpaduan selaras dengan tuntutan agama. Peristiwa ini juga menunjukkan beliau sedar tentang ancaman kepada perbuatan “Cakap tak serupa bikin” dari sudut agama berdasar dalil “Wahai orang orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah-kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya”,(Surah As-Saf,2-3)(4).

Peristiwa tersebut ialah;
1. Sesudah tamat PAU 2015 dan pada 21 Dec 2015, dengan kuasa yang ada pada DSN. Satu perjanjian menangani masalah air di Pasir Puteh, antara kerajaan negeri UMNO Terengganu dan PAS Kelantan dimerterai. Melalui perjanjian yang tidak berasaskan keuntungan ini, masalah air yang melibatkan seramai 1200 sehingga 1500 keluarga dapat diselesaikan. Inilah implikasi kebaikkan komitmen DSN terhadap salam perpaduan.

2. Pada 28 Mac 2016, skor “Indeks Syariah Malaysia” dalam menilai penerapan ciri ciri syariah dalam amalan kerajaan telah diterbitkan melalui kajian oleh pihak Universiti tempatan. Melalui kajian ini nilaian 75.42% diberi terhadap kerajaan diatas kejayaan memenuhi tuntutan Maqasid Syariah. Pentadbiran kerajaan pusat yang diterajui oleh DSN merupakan satu satunya negara di dunia yang berusaha menilai perlaksanaan amalan syariah dalam pentadbiran kerajaan.

Kita semua sebagai rakyat wajar berbangga diatas usaha ini walaupun wujud cemuhan sesetengah pihak yang melabel Malaysia sebenarnya bukan negara Islam. Rupa rupanya cemuhan tersebut adalah fitnah apabila kita melihat kepada peratusan yang diperoleh.

3. Dalam memastikan masalah sosial yang melanda rakyat terutama orang Melayu beragama Islam dapat diatasi dan dikawal, maka melalui kuasa yang ada ada DSN yang di turunkan kepada Menteri Kabinet, satu jalan penyelesaian diambil dengan memperkasakan hukuman keatas pesalah bagi tujuan mendidik bukan sekadar untuk kebaikkan pesalah, malah meliputi kesemua rakyat Malaysia beragama Islam melalui pembentangan Rang Undang Undang 355 (RUU 355). RUU 355 ini langsung tiada kaitan dengan hudud yang menjadi isu dan juga tidak membabitkan rakyat bukan beragama Islam.

Kesemua tindakan ini dibuat atas dasar kebertanggungjawab DSN sebagai Ketua Kerajaan, bukannya untuk mengampu PAS atau rakyat. Tindakan ini juga menepati tujuan penubuhan UMNO pada Fasal Perlembagaan 3.3.

Dimana PAS Apabila Seruan Perpaduan Di Laungkan?

Melalui beberapa contoh yang di kongsi, kita tidak mampu menafikan bagaimana DSN berusaha melaksanakan transformasi dalam pentadbiran dalam membangunkan Malaysia selaras tuntutan syariat.

Dan PAS selayaknya lebih faham berkenaan keperluan memenuhi tanggungjawab bukan sekadar menyahut akan tetapi mengamalkan perintah mengukuhkan perpaduan umat Islam melalui konsep “Kerajaan Perpaduan”. Konsep saling melengkapi antara satu sama lain, persefahaman yang wujud di antara pemimpin tertinggi selayaknya di dokong dan di sokong oleh akar umbi ahli PAS.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar (SB) dan Kuala Kangsar (KK), amat lah molek lagi mulia jika PAS dapat menunjukkan akhlak yang terpuji selaras tuntutan agama dengan menarik diri dari menentang UMNO dan menjadikan PRK ini sebagai wadah merapatkan persefahaman antara UMNO dan PAS diperingkat akar umbi melalui persepakatan gerak kerja menghadapi PRK SB dan KK.

Tidak cukupkan takdir Granada menjadi satu pedoman betapa “Perpaduan Umat Islam” itu amat penting yang sepatutnya menjadi keutamaan sekarang ini. Saya amat yakin dengan ilmu yang amat mendalam yang dikuasai oleh 14 Ahli Majlis Syura Ulama PAS, satu keputusan berdasarkan kaedah Fekah “Qowaidul Fiqhiyyah” dapat dibuat dengan kadar segera dalam menilai manakah lebih baik.

Adakah dengan memenuhi tuntutan dunia untuk bertanding dalam PRK SB dan KK yang akan menjarakkan lagi hubungan antara umat Islam dalam UMNO dan PAS (Perpecahan yang Allah benci) atau mengambil jalan “Saling Melengkapi” dengan penarikan calon PAS dari bertanding (kerana sebelum ni 2 kerusi ini di menangi oleh UMNO pada PRU13) yang akan  mendatangkan kebaikkan yang diyakini boleh merapatkan jurang perbezaan antara kedua parti melalui gerak kerja menghadapi PRK SB dan KK. Sudah tentu situasi ini lebih dekat dan menepati suruhan Allah berkaitan keperluan “Perpaduan” diatas kebaikkan.

Saya yakin dalil pada surah AL Baqarah ayat 216 “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui”(6) boleh menjadi asas kepada tindakan penarikan calon PAS dari bertanding dengan keperluan memenuhi seruan tuhan kita agar “Perpaduan Umat Islam” menjadi keutamaan.

Wallahualam.

Salam perjuangan,
Dato’ Hj Zein Isma Hj Ismail
Ketua Penerangan UMNO Selangor /  Ketua UMNO Bahagian Subang

Khamis 10 Jun 2016; 14:01hr Kampong Sungai Limau, Sungai Besar