KUALA LUMPUR, 24 Mei – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata pergerakan itu bersedia menghadapi apa jua senario pada pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar dan juga Kuala Kangsar Jun nanti, namun sama sekali tidak akan menari mengikut rentak pembangkang.

Menurut beliau pergerakan itu akan memberi fokus kepada tanggungjawab serta peranan Pemuda itu sendiri khususnya memastikan sokongan pengundi muda memihak kepada calon Barisan Nasional (BN).

DSC_5408_slider

“Kita bersedia apa sahaja senario dalam kedua-dua pilihan raya kecil ini tetapi kita tidak akan mengambil sikap menari mengikut rentak parti lawan. Kalau mereka agresif maksudnya menyalahi undang-undang maka kita harap pihak berkuasa mengambil tindakan.

“Kita tidak akan membawa budaya samseng dan kita akan beri tumpuan kepada tugas kita dan akan pastikan kehadiran jentera pemuda ramai selain memastikan sokongan pengundi muda memihak kepada BN,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO, di sini, hari ini.

Beliau seterusnya menambah apa yang berlaku di dalam parti lawan dan juga apa yang diperkatakan oleh Tun Dr Mahathir berhubung pilihan raya kecil tersebut tidak akan mengubah segala perancangan dan gerak kerja pergerakan itu.

“Sama ada Tun Mahathir turun kempen atau tidak ianya tidak akan mengubah rancangan kita. Pemuda ada gerak kerja tersendiri dan kita tidak pandang siapa yang nak lawan kita, siapa yang kempen menentang kita, kita beri tumpuan kepada gerak kerja kita sahaja.

“Terpulang kepada pengundi untuk nilai. Tetapi bagi BN kita tidak akan ikut rentak pembangkang, tidak akan ikut rentak Tun M, kita akan beri fokus kepada gerak kita sahaja. Kita akan menjual dan promosi calon kita. Kita tidak ambil kisah sangat parti lawan atau siapa akan bantu mereka dalam kempen itu nanti.

“Kami tidak rasa langsung selesa berdasarkan dengan apa yang berlaku di pihak lawan sebab saya selalu sebut prinsip pemuda kita bertanding dan menang atas kekuatan kita sendiri dan bukannya atas kelemahan parti lawan. Bagi saya apa yang berlaku dengan parti lawan itu adalah faktor kedua dan ketiga yang tidak perlu kita sentuh,” katanya.

Berhubung soal calon, Khairy yang juga Pengerusi Pemuda BN menegaskan pergerakan itu akan menyokong dan memberikan kerjasama penuh siapa sahaja calon yang akan dipilih oleh pucuk pimpinan.

“Soal calon kita tidak bincang apa-apa. Kita telah buat ketetapan bahawa kita akan menyokong sesiapa yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya calon yang telah dipilih.

“Kita ada tanggungjawab untuk memenangkan parti dan kita serah kepada pucuk pimpinan soal calon. Kita lebih nak tumpukan tentang isu dan gerak kerja Pemuda BN. Saya percaya dan yakin kalau kita beri tumpuan kepada gerak kerja BN serta kita dapat yakinkan pengundi insya Allah kita akan dapat kemenangan. Begitu juga dengan kerjasama pemuda parti komponen segalanya berjalan lancar,” katanya.