Ekoran Kalah Teruk Di PRN Sarawak : Sikap Pembangkang Seumpama Lagu Rakyat Bangau Oh Bangau – Zein Isma

SUBANG, 10 Mei – Ketua Penerangan UMNO Selangor, Dato Zein Isma menyifatkan perbalahan sesama sendiri antara parti pembangkang selepas kalah teruk dalam Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini seumpama lagu rakyat Bangau Oh Bangau yang tidak akan ada kesudahannya.

Jelas beliau, sikap suka berbalah dan menyalah sesama sendiri antara parti pembangkang yang berlaku hari ini bukanlah senario baru, malah ia seolah-olah menjadi satu tradisi parti-parti pembangkang untuk bergaduh sesama sendiri sejak dari dulu lagi.

“Lagu bangau oh bangau ni pada saya boleh disinonimkan dengan sikap parti-parti pembangkang yang tidak habis-habis berbalah dan menyalahkan satu sama lain tanpa ada sebarang penyelesaian. Bahkan, dalam menghadapi perkara-perkara besar seperti PRN di Sarawak pun, mereka masih lagi berbalah sesama sendiri dan tidak mampu untuk mencapai kata sepakat.

“Senario ini memperlihatkan dengan jelas bahawa sememangnya pihak pembangkang merupakan satu perkumpulan parti-parti yang caca merba, tidak ada perancangan dan tidak ada kesatuan dalam matlamat mereka.

“Masing-masing lebih suka mengikut kepala masing-masing dalam membuat sebarang keputusan dan tidak pernah mencapai kata sepakat. Dan apabila hasilnya menghampakan sepertimana keputusan yang diperolehi pakatan pembangkang di dalam PRN Sarawak, mereka mulalah berbalah dan saling tuduh menuduh sesama sendiri. Mereka ini tidak matang dan tidak pernah matang sepanjang penglibatan dalam gelanggang politik tanahair,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Sikap suka berbalah sesama sendiri dan langsung tidak persefahaman ini menurut beliau telah berterusan sejak sekian lama di dalam parti pembangkang dan ini merupakan satu indikasi yang memperlihatkan bahawa parti pembangkang masih  tidak layak untuk menerajui pemerintahan negeri atau negara.

“Kalau kita berbalah sesama lawan politik, itu perkara biasa. Tetapi di dalam pembangkang mereka bukan sahaja berbalah dengan parti lawan mereka seperti BN, tetapi mereka juga suka berbalah sesama sendiri dan akhirnya berpecah. Ini adalah sesuatu yang luar biasa yang tidak dapat kita lihat berlaku di dalam parti-parti komponen BN.

“Lebih teruk dari itu apabila mereka juga saling fitnah memfitnah sesama sendiri, bahkan sesama parti seperti yang berlaku di dalam PKR ketika mahu menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim. Sebab itulah kita lihat keputusan PRN Sarawak parti pembangkang kalah teruk bahkan turut kehilangan lebih kerusi di kawasan yang mereka menang sebelum ini.

“Saya yakin, jika kita memberikan kuasa kepada parti pembangkang untuk memerintah negeri atau negara, keadaan kita akan kembali ke belakang dan bukannya mahu ke hadapan. Ini disebabkan sikap pembangkang yang tidak pernah matang, tidak bersatu, mementingkan agenda peribadi dan parti masing-masing serta mempergunakan rakyat demi nafsu untuk berkuasa.

“Sikap yang ada pada kepimpinan pembangkang seperti ini tidak akan membawa kemajuan kepada negara sebaliknya akan menimbulkan masalah dalam pentadbiran  negeri atau negara di mana akhirnya rakyat juga akan menjadi mangsa,” ujarnya.