Hari ibu yang disambut pada 21 haribulan Mac setiap tahun telah diterima oleh semua penduduk dunia, tidak terkecuali negara-negara Islam sepertii Malaysia. Seperti “Hari Bapa” dan “Valentine”, umat Islam, tanpa usul periksa menerima bulat-bulat apa yang diperkenal dan dianjurkan oleh dunia Barat. Maka berbagai ucapan dan ungkapan diluahkan kepada siibu yang kadang-kadang si anak hanya berkesempatan bertemu dengannya dua atau tiga kali setahun.

ASAL USUL HARI IBU

Sejarah hari ibu telah dikenalpasti sebagai perayaan musim bunga orang-orang Greece, sebagai penghormatan terhadap Rhea, ibu kepada tuhan mereka. Pada tahun 1600 orang-orang England merayakan hari yang mereka namakan sebagai “Mothering Sunday”. Ia dirayakan pada hari Ahad keempat setiap Lent. Lent adalah tempoh masa selama 40 hari samada dalam bulan Februari atau Mac. Dalam tempoh ini, sebahagian orang-orang Kristian akan berhenti melakukan atau memakan makanan tertentu atas alasan agama. Amalan tersebut adalah sebagai penghormatan mereka terhadap Mother Mary. Mother Mary adalah Maryam, ibu kepada Nabi Isa Alaihissalam atau Jesus yang mereka anggap sebagai tuhan.

Dalam tempoh tersebut juga, kebanyakan rakyat England yang faqir dan miskin, akan bekerja sebagai pembantu rumah. Mereka sanggup keluar jauh meninggalkan keluarga kerana percaya bahawa Jesus akan memberikan kekayaan dan kesenangan dalam tempoh tersebut. Menjelang hari Ahad keempat, mereka digalakkan untuk bercuti oleh majikan, dan pulang ke kampung untuk bertemu dengan ibu. Setiap ibu akan dihadiahkan dengan Mothering Cake atau kek hari ibu sempena perayaan tersebut.

Amalan dan tradisi ini menular ke seluruh dunia dan ia kini disambut sebagai penghormatan kepada Mother Church. Mother Church dianggap sebagai kuasa spiritual yang agung yang memberi manusia kehidupan dan memullihara mereka dari sebarang kecederaan. Sejak dari itu, perayaan Mothering Sunday telah diadun dengan upacara kegerejaan. Penghormatan mereka terhadap ibu sama taraf dengan penghormatan mereka terhadap gereja.

Di Amerika Syarikat, Hari Ibu disambut seawal 1872 hasil ilham Julia Ward Howe. Beliau adalah seorang aktivis sosial dan telah menulis puisi ” The Battle Hymn of The Republic” (TBHoTR). TBHoTR telah dijadikan lagu patriotik yang popular di kalangan warga Amerika. Ungkapan “Hallelujah” dalam bait-bait lagu tersebut menyerlahkan lagi sentuhan Yahudi dan Zionis dalam mencaturkan politik dunia.

Pada tahun 1907 Anna Jarvis dari Philadelphia telah memulakan kempen untuk melancarkan Hari Ibu. Beliau telah berjaya mempengaruhi Mother’s Church di Grafton, West Virginia agar meraya dan meraikan Hari Ibu pada hari ulang tahun kedua kematian ibunya, iaitu pada hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Semenjak dari itu, Hari Ibu dirayakan saban tahun di Philadelphia.

Anna Jarvis, dan pendokong-pendokongnya telah menulis surat kepada menteri, golongan peniaga dan ahli-ahli politik agar Hari Ibu disambut secara meluas di seluruh wilayah. Matlamat mereka telah berjaya sepenuhnya pada tahun 1911 apabila hari tersebut disambut oleh hampir keseluruhan wilayah Amerika. Pada tahun 1914, Presiden Woodrow Wilson, secara rasminya telah mengisytiharkan Hari Ibu sebagai Hari cuti umum dan mesti raikan pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Biarpun sebahagian besar negara-negara di dunia menyambutnya pada hari yang berlainan, tetapi negara seperti Denmark, Finland, Itali, Turki, Australia, dan Belgium masih merayakannya pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Justeru, apakah justifikasi orang-orang Islam merayakan hari tersebut ? Wallahu ‘alam.

Ulasan ;

1. Berbakti kepada ibubapa adalah wajib dan patut dilaksanakan sepanjang tahun dan bukan pada hari-hari tertentu sahaja. Walau bagaimanapun, masyarakat moden hari ini menyambut hari-hari tertentu untuk memberikan penghormatan atas jasa-jasa individu atau kelompok tertentu. Maka lahirlah beberapa hari Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Guru, Hari Pekerja, Hari Jururawat dan lain-lain. Hari Ibu disambut di sesetengah negara pada 21 Mac setiap tahun dan di sesetengah negara lain seperti Malaysia pada 10 Mei setiap tahun. Sambutan ini sentiasa mengundang perbahasan umat Islam tentang hukum menyambutnya.

2. Ulama’ berselisih pendapat dalam perkara ini dan secara umumnya mereka terbahagi kepada 2 kelompok iaitu:

(1.) Kelompok yang mengharamkan. Diantaranya ialah Al-marhum Sheikh Abdul Aziz bin Baz yang secara jelas pernah mengeluarkan fatwa tentang sambutan ini. Asasnya ialah kerana ia termasuk diantara perkara bid’ah dalam agama dan mengikut kepada Barat (gharbiyyun).

(2. )Kelompok yang mengharuskan. Mereka mempersetujui bahawa sambutan ini juga adalah perkara yang diada-adakan, tetapi ia bukanlah bid’ah dalam ibadat tetapi hanyalah bid’ah dalam adat kebiasaan .

3. Pandangan kelompok pertama adalah cukup mudah untuk difahami dan saya tidak berhasrat memanjangkan di sini.

4. Pandangan kelompok kedua boleh diperhatikan pada pendapat-pendapat beberapa ulama’ kontemporari. Sheikh Faisal Mawlawi, Timbalan Pengerusi Majlis Fatwa dan Pengkajian Hukum Eropah (Majlis ini dipengerusikan oleh Sheikh Professor Dr Yusuf Abdullah al-Qaradawi) yang juga seorang pemimpin gerakan Islam di Lubnan (seangkatan dengan Sheikh Dr Fathi Yakan) berpendapat bahawa tiada halangan untuk menyambut Hari Ibu tetapi dengan dua syarat:

1. Sambutan itu hanyalah penghormatantambahan yang dilakukan lanjutan daripada penghormatan sehari-hari yang diberikan selayaknya untuk ibu.
2. Sambutan itu tidaklah dianggap sebagai satu perayaan dalam mafhum Syarak iaitu menyamai Eid al-Adha dan Eid al-Fitri yang ada asasnya yang jelas dalam nusus Syariah.

3.Dr Muhammad Bakar Ismail, Professor Tafsir dan Ilmu-ilmu al-Quran di Universiti Al-Azhar al-Syarif memberikan pandangan seperti berikut:

“Hari ini dimana ibu dimuliakan dan dinamakan dengan Hari Ibu adalah daripada bid’ah-bid’ah dalam perkara adat dan bukan ibadat. Bid’ah dalam adat adalah tidak disuruh oleh Islam dan tidak juga dilarang kecuali ia menghubungkan dengan agama daripada dekat atau jauh. Jika adat ini lahir daripada pengiktirafan kepada kecantikan dan menyeru kepada berlaku baik dan ihsan kepada orang yang berhak mendapat kebaikan dan ihsan seperti ibu, bapa, datuk dan nenek, maka Islam memberkati dan memperakui adat sebegini. Manakala jika adat ini lahir daripada perkara yang sebaliknya, dan melakukannya juga melibatkan perkara-perkara yang buruk dan dilarang oleh Islam seperti pemborosan, pembaziran, kelalaian dan berbangga-bangga, maka Islam melarang daripadanya.”

6. Dr ‘Abdul Fattah Asyur, seorang lagi ulama’ al-Azhar memberikan pendapat seperti berikut:

Bahawa merayakan beberapa hari yang padanya dimuliakan manusia atau menghidupkan ingatan-ingatan yang baik, maka tidak seorang pun mengatakan bahawa program ini adalah perayaan agama atau sebahagian daripada perayaan-perayaan Muslimin. Tetapi ia adalah peluang untuk menunjukkan syiar perasaan yang baik terhadap orang-orang yang berbudi kepada kita dan diantaranya ialah apa yang dikenali sebagai Hari Ibu. Sesungguhnya bagi ibu kedudukan yang khusus dalam Islam dan juga dalam setiap agama lain. Maka ibu wajib dimuliakan dan dirayakan.

7. Sheikh Hamid al-Athar, ahli Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia (yang dipengerusikan oleh Sheikh al-Qaradawi) memberikan pendapat seperti berikut:

Perayaan Hari Ibu pada suatu pada suatu hari yang dikhususkan (iaitu 21 Mac) pada pendapatku adalah makruh dan tidak jauh hukumnya dengan haram, bukan disebabkan bid’ah tetapi kerana mengikut orang-orang bukan Islam pada adat kebiasaan dan perayaan-perayaan mereka. Telah datang beberapa hadith Rasulullah SAW yang melarang umatnya daripada menyerupai Ahli Kitab antara lainnya ialah yang didatangkan daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dari kalangan mereka.”

8. Dr Muhammad al-Banna berpendapat bahawa tiada halangan untuk menyambut Hari Ibu dengan syarat:

1. Tidak berlaku di dalamnya perkara-perkara yang diharamkan oleh Syariah seperti pergaulan bebas diantara lelaki dan perempuan.
2. Tidak dimaksudkan untuk menyerupai orang-orang Barat dan bukan Islam.
3. Hendaklah kandungan perayaan itu diteruskan sepanjang tahun iaitu tidak terbatas kepada hari tersebut sahaja.