KINI Australian Broadcasting Corporation (ABC) dilihat mula menyerang kerajaan Malaysia dengan menggunakan beberapa isu yang sering dilaungkan oleh Tun Dr Mahathir dan juga pembangkang. Oleh itu, secara logiknya ABC boleh dikatakan sebagai mewakili golongan pemberontak iaitu Mahathir dan pembangkang untuk meneruskan agenda mereka bagi membantu menyingkirkan Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebelum ini, The Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report (SR) menjadi medium untuk menyebarkan berita-berita palsu yang ingin disampaikan oleh Mahathir. Malahan, Xavier Andre Justo seorang warga Switzerland turut mendedahkan bahawa WSJ dan SR telah menggunakan maklumat yang telah diubah berdasarkan dokumen yang dibeli dari Justo untuk memfitnah Datuk Seri Najib.

Beberapa orang wartawan ABC dilihat mula berkeliaran dalam beberapa siri program yang dianjurkan oleh pembangkang. Selain daripada itu juga, mereka cuba menimbulkan provokasi dengan menyiarkan berita separuh benar dan menggunakan sumber yang tidak pasti.

Baru-baru ini, satu dokumentari Australia iaitu Four Corners, yang merupakan program terbitan ABC cuba menimbulkan keraguan dan provokasi dengan memaparkan laporan yang didakwanya sebagai butiran akaun bank peribadi Datuk Seri Najib.

Menurut ABC, kru penerbitannya telah melihat dokumen-dokumen bank yang dibekalkan oleh ‘sumber pada peringkat tertinggi’ yang tidak dinamakan. Ini merupakan cara ABC untuk memberikan gambaran buruk dengan menggunakan sumber yang tidak sahih.

Mereka menggunakan pendekatan tajuk berita yang boleh menimbulkan provokasi memandangkan ramai pembaca diluar sana, lebih ramai yang membaca tajuk daripada kandungan berita tersebut. Kemudian berita tersebut akan dipetik pula oleh Malaysiakini dengan menggunakan tajuk yang bertujuan untuk memburukkan kerajaan pula.

Pada 28 Mac 2016, Malaysiakini menggunakan tajuk : Aliran luar biasa dana ke akaun Najib – ‘Four Corners’ dalam artikel yang menceritakan laporan ABC. Artikel ini dilihat bertujuan untuk terus menuduh dan mendakwa bahawa wujud salahlaku Najib dalam penerimaan derma.

Walaupun pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan tidak wujud sebarang salahlaku di pihak Perdana Menteri, malahan pihak pemberi derma iaitu keluarga DiRaja Arab Saudi turut mengesahkannya namun seperti biasa pihak pembangkang cuba mendoktrinkan kononnya ada salahlaku dengan mengulangi dakwaan yang sama berulang kali walaupun ianya tidak berasas sama sekali.

Modus operandi terbaru ABC dengan mengulas kronologi pemberian derma tersebut seolah-olah ianya satu kesalahan dalam penerimaan derma dari sebuah negara Islam pula.  Malahan mereka turut mendedahkan surat bertarikh 1 November 2011 yang menyebut “hadiah” itu diberikan sebagai penghargaan terhadap kerja-kerja dilakukannya dalam “mentadbir Malaysia berdasarkan prinsip-prinsip Islam”. Surat itu juga membangkitkan cadangan Najib membentuk Pergerakan Kesederhanaan Global bagi menangani isu keganasan antarabangsa.

Adakah pihak pembangkang amat “sakit hati” memandangkan Datuk Seri Najib menerima derma dari negara Islam yang kaya sebagai sokongan mentadbir secara Islam dan memerangi keganasan? Siapakah yang diwakili oleh ABC ini? Adakah mereka dipihak yang mendokong keganasan? Perkara ini perlu disiasat dan didedahkan.

Memandangkan wartawan ABC kini berkeliaran dalam negara kita maka mereka perlu dipantau dan diambil tindakan yang sewajarnya. Mereka berkemungkinan merupakan agen pembangkang untuk memburukkan Malaysia ataupun pendokong keganasan yang mampu mengganggu keamanan negara kita. Rakyat Malaysia yang cintakan keamanan mendesak pihak Kementerian Dalam Negeri, Imigresen dan polis agar berganding bahu menangani masalah wartawan luar yang mempunyai niat jahat ini.