BERITA NASIONAL Senjata paling berkuasa media sosial
Hand holding a Social Media 3d Sphere sign on white background.

Senjata paling berkuasa media sosial

596

MEDIA sosial adalah satu bentuk komunikasi penting dalam dunia era global pada masa kini. Sebagai sebuah aplikasi berasaskan Internet, media sosial membolehkan penggunanya untuk memberi sumbangan dan maklum balas secara terbuka serta berkongsi maklumat dalam masa yang cepat dan tidak terhad. Blog, rangkaian sosial (seperti Facebook, Twitter), Wiki, forum dan dunia virtual adalah antara contoh medium penting yang terdapat dalam aplikasi media sosial.

Dalam konteks politik, media sosial berperanan sebagai ‘alat kuasa’ yang paling berpengaruh. Ia menyediakan ruang umum (public sphere) bagi rakyat untuk menzahirkan penyertaan politik mereka secara bebas dan tanpa sebarang tekanan. Istilah ruang umum atau dalam bahasa Jerman disebut Offentlichkeit merujuk kepada ruang atau kawasan khas dalam masyarakat di mana setiap individu boleh bebas berinteraksi dan seterusnya mempengaruhi sesuatu tindakan politik.

Idea ini dipelopori oleh sarjana Barat yang juga berasal dari Jerman iaitu Jurgen Habermas menerusi artikelnya yang bertajuk ‘The Structural Transformation of the Public Sphere: An Inquiry into a Category of Bourgeois Society’ (1989) terbitan The MIT Press, yang kemudiannya turut dibincangkan oleh para sarjana lain seperti Gerard A. Hauser (1999), Nancy Fraser (1990), Craig Calhoun (1992), Robert Asen (1999), dan ramai lagi.

Secara idealnya, idea ruang umum ini adalah sangat sesuai dengan praktik sistem demokrasi yang diamalkan oleh kebanyakan negara di seluruh dunia pada hari ini khasnya dalam konteks hak dan kebebasan bersuara. Pun begitu, secara realitinya, idea ini juga menjurus kepada konflik antara rakyat dan pemerintah. Dalam konteks media sosial, rakyat mahukan kebebasan media sosial tanpa kawalan sementara pemerintah pula lebih cenderung kepada dasar media sosial dengan kawalan dalam beberapa aspek tertentu.

Kritikan dan tohmahan sering-kali dilontarkan kepada kerajaan apabila terdapat usaha untuk mengehadkan aktiviti media sosial di sesebuah negara. China, sebagai contoh, masih mengekalkan beberapa halangan mengenai aktiviti media sosial di negara tersebut, begitu juga dengan beberapa buah negara monarki di Asia Barat.

Amerika Syarikat (AS), sebagai contoh, adalah antara negara maju yang mempunyai jumlah pengguna media sosial yang terbanyak di dunia. Walaupun secara prinsipnya, wujud kebebasan dalam aktiviti media sosial di negara ini, namun begitu, apabila diteliti secara mendalam mengenai hal ini, kita akan dapati bahawa tindakan kawal selia media sosial oleh kerajaan di mana-mana negara pun termasuk di negara-negara maju ialah satu tindakan yang biasa sebagai sebahagian daripada usaha untuk menjadi moral dan etika para pengguna media sosial yang terdiri daripada pelbagai lapisan peringkat dalam masyarakat di negara tersebut.

Para pengguna media sosial di AS, khasnya pegawai kerajaan, adalah terikat dengan etika tertentu berkenaan dengan penggunaan aplikasi media sosial. Pejabat kerajaan AS mengenai Hal Ehwal Etika telah memperkenalkan satu kod tatasusila yang dikenali sebagai the Standards of Ethical Conduct for Executive Branch Employees (Standard of Conduct), 5 C.F.R. Part 2635 bertujuan untuk mengawal penggunaan aplikasi media sosial dalam kalangan pegawai kerajaan di negara tersebut.

Antara aspek penting yang dinyatakan dalam kod tatasusila tersebut adalah larangan bagi pegawai kerajaan daripada memanipulasi ataupun mendedahkan kepada umum sebarang maklumat sulit kerajaan untuk tujuan kepentingan diri sendiri ataupun untuk kepentingan pihak-pihak tertentu dan apa-apa perbuatan berkaitan yang boleh menjejaskan keselamatan negara serta kepentingan nasional.

Walaupun isu kebebasan media sosial ini secara umumnya selari dengan prinsip demokrasi, aktiviti dan penggunaan media sosial tanpa sebarang kawalan boleh memberikan impak negatif untuk jangka masa panjang kepada negara dan masyarakat. Fenomena Arab Spring adalah antara contoh terbaik bagaimana aplikasi media sosial yang tidak terkawal boleh memberikan impak positif dan negatif kepada sesebuah negara.

Secara positifnya, media sosial telah membantu secara tidak langsung dalam usaha ‘mencelikkan’ minda masyarakat Arab di negara-negara yang terkesan dengan fenomena Arab Spring untuk bangun membebaskan diri mereka daripada sebarang bentuk penindasan oleh pemimpin dan kerajaan di negara mereka sendiri.

Sementara itu, dari aspek negatif pula, penggunaan media sosial yang tidak terkawal bukan sahaja men-yumbang kepada keadaan ketidakstabilan dalam negara malah turut membuka ruang dan peluang kepada pihak-pihak yang berkepentingan di luar negara untuk membuat percaturan tertentu di negara tersebut bagi kepentingan mereka sendiri.

Dalam konteks isu terrorisme global, misalnya, media sosial se-ringkali digunakan sebagai satu cara untuk menyebarkan ideologi dan fahaman ekstremisme, menagih simpati umum, menyebarkan fitnah terhadap pemimpin dan kerajaan, serta merekrut ahli baharu dan calon-calon pengebom berani mati.

Dalam hal ini, kerajaan Malaysia turut memandang serius mengenai penggunaan aplikasi media sosial dalam kalangan rakyatnya. Setakat ini, tiada sebarang cadangan daripada kerajaan untuk mengawal aktiviti media sosial.

Pun begitu, kerajaan akan sentiasa memantau aktiviti ini dari semasa ke semasa bagi mengelakkan berlakunya perkara-perkara negatif yang wujud hasil daripada penggunaan media sosial yang tidak terkawal ini.

Sementara aktiviti media sosial di Malaysia masih lagi bebas, usaha juga perlu dilakukan oleh kerajaan bertujuan mendidik pengguna dan pengendali aplikasi media sosial supaya mereka menjadi lebih bertanggungjawab dan beretika ketika menggunakan aplikasi tersebut. Tanpa tanggungjawab dan etika ini, media sosial boleh disalahguna secara negatif sebagai alat kuasa yang boleh menjejaskan ketidakstabilan negara.

Lebih teruk lagi, penggunaan media sosial yang tidak terkawal boleh membuka peluang kepada pihak-pihak luar yang berkepentingan untuk membuat percaturan mereka di negara ini dan seterusnya bakal menyaksikan negara ini terjerumus dalam satu konflik dalam yang serius.

PENULIS ialah Pensyarah Sains Politik di Pusat Pengajian Antarabangsa, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah Darulaman.