SUBANG, 4 Jan – Ketua UMNO Bahagian Subang, Dato’ Hj Zein Isma Bin Hj Ismail, menyifatkan kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah yang berkata BN sepatutnya mempunyai alasan yang munasabah untuk menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah, sebagai satu kenyataan seumpama meludah ke langit terkena ke muka sendiri.

Beliau menyatakan rasa hairannya bagaimana Wan Azizah begitu mudah lupa bagaimana beliau sendiri pernah menjadi boneka suaminya dalam usaha untuk menggulingkan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar Selangor, hanya semata-mata untuk memuaskan nafsu politik suaminya tanpa ada alasan yang benar dan munasabah.

“Bagi saya, adalah lebih baik Wan Azizah diam saja daripada sibuk-sibuk nak beri komen tentang isu MB Kedah ni, sebab apa yang beliau dan suaminya lakukan terhadap Tan Sri Khalid adalah seratus kali lebih teruk dan lebih dahsyat daripada apa yang berlaku di Kedah.

“Di Kedah, penukaran MB hanya berlaku apabila majoriti besar Adun-Adun di Kedah mengiystiharkan hilangnya kepercayaan terhadap Mukhriz selaku Menteri Besar dan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah. Ini adalah alasan yang munasabah dan jemaah pemangku Sultan juga telah menerima segala alasan yang diberikan oleh Adun-Adun tersebut.

“Tetapi ketika penukaran MB Selangor, PKR hanya menggunakan taktik politik kotor dan keji dengan memfitnah Tan Sri Khalid dengan pelbagai tohmahan yang tidak benar sama sekali, tanpa alasan yang munasabah.

“Dan apabila Tan Sri Khalid membawa tuduhan PKR itu ke mahkamah, ternyata kemenangan di pihak beliau dan PKR pula terpaksa meminta maaf secara terbuka kerana memfitnah beliau semata-mata untuk menggulingkan beliau dari kerusi MB,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Justeru itu kata Zein lagi, jelas dalam isu penukaran MB Selangor, PKR langsung tidak ada alasan yang munasabah malah mereka-reka pula pelbagai fitnah untuk menjatuhkan Tan Sri Khalid untuk kepentingan politik peribadi Anwar Ibrahim.

Sementara itu kata beliau, kenyataan Wan Azizah itu merupakan satu lambang dan gambaran pemikiran serta sikap  golongan kepimpinan pembangkang ini terlalu ego untuk mengakui ataupun menyedari bahawa mereka juga  melakukan kesilapan.

“Mereka ini menggangap apa yang mereka lakukan itu betul belaka, seolah-olah macam maksum pula. Dalam isu MB Kedah ini mereka mengkritik seolah-olah perkara itu tidak pernah mereka lakukan.

“Sedangkan mereka juga pernah membuat penukaran MB. Bahkan cara yang mereka lakukan lebih sadis, kejam, tidak berhati perut dengan perbuatan fitnah dan menjatuhkan maruah seseorang individu itu,”ujarnya.

Sebelum itu, bekas setiausaha politik Tan Sri Khalid Ibrahim, Faekah Hussin turut membidas kenyataan Datuk Johari Abdul yang mendakwa penyingkiran Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar Selangor lebih tertib dan menyfatkan kenyataan tersebut sebagai sesuatu yang melucukan dan mencabar kewarasan dan kecerdikan rakyat di negara ini.

Tulisannya yang tersiar di dalam sebuah portal berita itu turut mengungkit kisah Langkah Kajang yang dianggap sebagai punca perpecahan pakatan harapan serta bagaimana PKR telahj menjaja tuduhan palsu terhadap Khalid di dalam jelajah kempen mereka ke seluruh Selangor.

Katanya lagi,  Langkah Kajang merupakan satu pengkhianatan kepada laungan reformasi yang dilaungkan sejak tahun 1998, di mana seorang Menteri Besar PKR telah dijatuhkan menggunakan tuduhan palsu dengan cara yang sangat secara jijik dan kotor oleh kepimpinan dan ahli partinya sendiri.