Semua sedia maklum esok, akan termeterai perjanjian rasmi bagi pakatan pembangkang yang baru tapi muka yang sama untuk menghadapi pertandingan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti. Kalau dulu parti yang berpakat dalam nama Pakatan Rakyat ialah PAS, PKR dan DAP.

Selepas rakyat menolak pakatan itu dan PAS juga menolaknya, ia bertukar kepada nama Pakatan Harapan dengan gabungan tiga parti baru iaitu PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH). Untuk rekod anda, AMANAH ialah parti serpihan PAS hasil dari tajaan DAP untuk membuatkan ia dengar cakap dan tidak membantah sebarang keputusan dalam pakatan.

Ini kerana sebelum ini, PAS di dalam Pakatan Rakyat sering berkelakukan degil dengan menentang keputusan yang diambil dalam pakatan itu membuatkan DAP bengang. Antaranya, isu pencalonan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk menjadi Menteri Besar Selangor dan pelantikan Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor.

Jadi, kini nama harapan kononnya hendak menunjukkan mereka punya harapan untuk akhirnya menang PRU14 nanti dengan diterajui oleh Mohamad Sabu sebagai Presiden AMANAH. Harapan itu sudah pasti akan tinggal harapan dan pakatan ini juga akan jatuh tersungkur.

Dalam Pakatan Rakyat pun, tiada kesepakatan di antara ketiga-tiga parti itu khususnya dalam soal pembahagian kerusi. Bukannya kita tidak pernah jumpa kejadian pertembungan antara PAS dan DAP dalam merebut kerusi padahal mereka dalam satu gabungan.

Sebab itulah, apa sahaja nama pakatan ini, pasti tidak akan ada satu nama tunggal seperti Barisan Nasional (BN) dengan lambang tunggal kerana ia nanti akan menyukarkan pemimpin parti yang berbeza ini membuat kenyataan.

Jika ada pula masalah perselisihan dalam politik, mudahlah mana-mana satu parti akan disingkirkan dan selepas itu nama pakatan lain pula diumumkan dengan mungkin ada pula serpihan parti baru yang hadir.

Penulis rasa, perkara berkaitan kegagalan ini bukan satu spekulasi sebaliknya kita hanya perlu tunggu dan lihat sahaja kehancuran Pakatan Harapan ini pula.

Mereka menubuhkan pakatan pada hakikatnya bukan untuk rakyat, mereka mempengaruhi rakyat membenci BN dan kerajaan untuk menang dalam pilihan raya.

Pembangkang bukannya hendak berbakti kepada kumpulan rakyat yang memerlukan bantuan sebaliknya gemar menggunakan taktik politik kotor.