Betapa Kita Semua Rugi Dalam Sedar Akibat Perbuatan Kita

Sejak kebelakangan ini wujud sekumpulan ahli UMNO diketuai mantan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang mendakwa diri mereka sebagai pejuang UMNO sebenar.

Mereka mendakwa sebagai kumpulan sebenar dalam perjuangan menguatkan UMNO.

Kumpulan ini juga melakukan banyak tindakan yang tidak wajar dilakukan oleh pejuang atau ahli UMNO yang cintakan parti dan Islam.

Kebanyakan mereka telah meninggalkan tuntutan dan suruhan Allah serta nabiNya dalam mentaati pemimpin.

Sahabat kita dalam UMNO yang tergolong dalam kumpulan ini juga telah meninggalkan urusan menasihati pemimpin melalui jalan yang maaruf.

Lebih malang lagi mereka ini menjadi kelompok yang begitu lantang menentang pemimpin kita.

Tindakan mereka ini menyerupai pembangkang dalam menyerang pemimpin parti dan negara.

Sebenarnya tindakan golongan ini hanya mendatangkan natijah atau akibat lebih buruk apatah lagi sekiranya ada di kalangan kita yang kurang pengetahuan turut terpengaruh dengan fitnah yang disebarkan itu.

Akhirnya mereka ini akan turut melakukan kebathilan dengan menyebarkan fitnah yang boleh merugikan kita.

Sudah tentu perpecahan akan semakin merebak dan pihak yang paling untung ialah pembangkang yang mengharapkan rakyat terpengaruh dengan fitnah itu, sekali gus memberi undi kepada mereka pada pilihan raya umum nanti setelah rakyat muak dan hilang kepercayaan kepada parti kita.

Ketika ini siapakah yang paling rugi?

Perbuatan Bathil Yang Pertama Berlaku Dalam Sejarah Islam Dalam Menasihati Pemimpin.

Dzul Khuwaisirah (Dzul Khu), seorang sahabat Nabi Muhammad SAW telah mencela dan mengungkapkan terus kepada baginda tanpa segan silu di hadapan umum.

Dzul Khu juga telah menuntut serta menggertak baginda Nabi supaya berlaku adil dan bertakwa kepada Allah kerana pada anggapannya baginda berlaku khianat dalam urusan pembahagian harta rampasan perang Hunain.

Beliau telah berkata kepada baginda Nabi “Demi Allah, sesungguhnya pembahagian harta yang dibuat oleh Nabi tidak menepati asas keadilan. Manakala tujuan pembahagian ini pula bukan kerana Allah”.  Lalu Dzul Khu berlalu pergi.

Setelah itu baginda Nabi telah bersabda “Sesungguhnya daripada orang ini akan muncul sekumpulan manusia yang hebat membaca Al Quran tetapi bacaannya tidak melepasi kerongkong.

Mereka terlepas daripada batas-batas Islam sebagaimana anak panah menembusi tubuh buruannya. Jika aku sempat menemui mereka, nescaya akan aku perangi (BUNUH) mereka sebagaimana dibunuhnya kaum “A’ad” (Shahih AL Bukhari, no 7432).

Imam Ibnul Jauzi menerangkan hadis ini, ” Dzul Kuwaishirah adalah tokoh khawarij pertama muncul dalam sejarah Islam dan menganggap dirinya dalam kebenaran semata mata.

Kemudian daripada Dzul ini lahir pula kelompok yang memisahkan diri daripada ketaatan terhadap pemerintah… “ (Tablis Iblis, m/s 81-81-Maktabah Syamilah).

Kisah ini merupakan sejarah awal perbuatan kebathilan yang dilakukan tanpa ilmu dalam menegur pemimpin.

Malah sesiapa yang melakukan perbuatan bathil yang disangka benar turut mempunyai sikap tidak akan mentaati pemimpin.

Kedua-dua sikap ini saling berkait antara satu sama lain.

Kebelakangan ini kita dapat melihat kebenaran hadis ini apabila bekas Presiden parti mengikut perangai Dzul Kuwaishirah dalam menghina pemimpin kita secara terbuka dengan cara sama iaitu bertindak melakukan pemberontakan dengan mempengaruhi orang lain agar tidak taat kepada pemimpin.

Pemberontakan yang paling ringan ialah memusuhi dengan hati kemudian celaan atau hasutan kebencian melalui lisan dan penulisan. Akhir sekali dengan senjata, menurut Al-Imam asy-Syahrastani melalui kitabnya AL-Milal wa an-Nihal.

Jelas di sini program kebathilan yang diketuai oleh mantan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO di Kelab Sultan Sulaiman pada malam 7 Disember 2015 membuktikan kebenaran hadis ini.

Bacaan ayat Al Quran dalam majlis itu telah dijadikan sandaran untuk membenarkan perbuatan bathil mereka dalam menegur, menghina, mengusik kehormatan dan kredebiliti pemimpin kita dengan cara maki hamun, mencela, mencipta dan menyebarkan fitnah bagi tujuan mengaibkan pemimpin kita.

Amat tepat hadis ini menyifatkan mereka yang mengikut tindakan Dzul Khu ini mahir membaca Al Quran, namun tidak memahami maksud sebenar ayat tersebut.

Mereka hanya mengambil mana-mana terjemahan yang bersesuaian dengan nafsu mereka bagi membenarkan perbuatan jahat ini.

Kumpulan ini yang menyerupai tindakan Dzul Khu juga mencipta dan menyebarkan fitnah agar kita terpengaruh.

Mereka kemudiannya menjadikan fitnah tersebut sebagai alasan untuk bertindak memisahkan diri daripada mentaati pemimpin kita.

Al-Imam al-Barbahari telah berkata “Dan sesiapa yang keluar dari ketaatan terhadap pemimpin umat Islam maka mereka termasuk golongan Khawarij. Mereka bertindak memecahbelahkan perpaduan umat Islam dan menentang sunnah.

Sekiranya mereka mati, matinya dalam jahiliyah.

Tidak boleh keluar dari ketaatan terhadapnya walaupun pemimpin tersebut seorang yang jahat”. (Syarhus Sunnah, no 33).

Penjelasan dari seorang ulama yang tepat dan situasi perpecahan telah berlaku dalam parti serta negara kita sekarang ini.

Kita tidak boleh menafikan bahawa perpecahan dalam UMNO yang berlaku ketika ini adalah kerana tindakan mantan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO ketika ini.

Bagaimana Islam Mengajar Kita Mentaati Pemimpin.

Ada kalangan sahabat kita dalam UMNO telah mencipta dan menyebarkan fitnah bahawa Pesiden parti yang juga Perdana Menteri kita seorang yang fasiq kerana melakukan banyak kemungkaran dan disebabkan itu kita tidak perlu lagi taat kepada beliau serta perlu bersama-sama menjatuhkan beliau sebagai pemimpin negara.

Sangkaan mereka ini salah sama sekali dan perbuatan ini sama seperti tindakan Dzul Khu yang menyangka dirinya berada dalam kebenaran apabila mengkritik, mencela dan menghina baginda Nabi Muhammad SAW secara terang terangan.

Tindakan mereka ini amat berlawanan dengan hadis  “Akan ada sepeninggalanku nanti para pemimpin yang tidak mengambil petunjukku, dan tidak mengambil sunnah dengan sunnahku. Akan muncul pula di tengah-tengah mereka orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan dalam bentuk manusia.” Aku (Hudzaifah) bertanya, “Apa yang perlu aku lakukan jika aku menemuinya?” Beliau menjawab, “(Hendaklah) kamu mendengar dan taat kepada pemerintah, walaupun ia memukul punggungmu dan merampas hartamu, tetaplah mendengar dan taat.” (Hadis Riwayat Muslim, Shahih Muslim, 3/387, no. 3435).

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa jika jangkaan kumpulan ini beranggapan menuduh dan memfitnah Presiden kita sebagai seorang yang fasiq, tidak mengamalkan sunnah dan berhati syaitan sekalipun, kita semua wajib taat kepada pemimpin kita.

Selain itu hadis ketaatan kepada pemimpin dikuatkan dengan hujah oleh Imam al-Qadhi ‘Iyadh sebagaimana dinukilkan Imam an-Nawawi rahimahullah: “Majoriti ulama ahlus sunnah dari kalangan fuqaha’ (ahli fiqh), ahli hadis, dan ahli kalam menyatakan bahawa pemimpin tidak dilucutkan (atau dijatuhkan kepimpinannya) atas sebab kefasikkannya, kezalimannya, dan perbuatannya yang merampas hak-hak umat Islam dan tidak boleh khuruj (keluar dari ketaatan) kepadanya”

Baginda Nabi Muhammad SAW Meng”KLAS”kan Kumpulan Yang Tidak Mentaati Pemimpin Melalui Hadis.

Bagi sahabat kita dalam UMNO yang termasuk dalam golongan Khawarij apabila terlibat dalam perbuatan bathil seperti menghina dan menegur pemimpin bukan melalui kaedah Ahlus Sunnah al Jamaah, mencipta dan menyebarkan fitnah kepada orang ramai bagi tujuan mengaibkan pemimpin kita serta turut sama melakukan usaha menjatuhkan pemimpin yang amat berlawanan dengan suruhan agama maka ingatlah amaran baginda Nabi melalui hadis ini.

Ibnu Majah meriwayatkan daripada Ibnu Abi Aufa bahawa baginda Nabi Muhammad SAW bersabda ” Al Khawarij adalah anjing anjing neraka” (Sunan Ibnu Majah).

Hadis ini memberi maksud sesiapa sekalipun, tidak terkecuali bekas mantan Presiden, apabila melakukan perbuatan yang termasuk dalam golongan Khawarij maka mereka akan menjadi anjing neraka sekiranya tidak bertaubat.

Wahai sahabat ahli UMNO, masih belum terlewat untuk kita semua kembali mengamalkan sunnah Nabi dalam menasihati dan mentaati pemimpin dengan mengikut kaedah ASWJ, bukannya termasuk dalam golongan Khawarij.

Ketahuilah perbuatan kita yang menyalahi suruhan agama dan menyerupai Dzul Khu pasti akan meletakkan kedudukan kita di akhirat sebagai “ANJING NERAKA”.

Berbaloikah jika itu balasannya yang akan kita terima di akhirat kelak.

Yakinkah kita bahawa mantan Presiden dan Timbalan Presiden parti kita dapat memberi syafaat kepada kita untuk tidak menjadi “ANJING NERAKA” akibat perbuatan kita hari ini?