HARGA PETROL ARAB SAUDI NAIK 40%

Walaupun berhadapan dengan harga minyak yang rendah, kerajaan Arab Saudi tetap mengekalkan pengeluaran hasil yang tinggi. Arab Saudi telah menaikkan harga minyak domestik sebanyak 40% selepas pengeluar minyak utama dunia itu mengumumkan rekod bajet defisit sebanyak US$ 98 bilion pada Isnin, memetik kejatuhan harga minyak global.

Jumlah bajet defisit berkenaan adalah tertinggi dalam sejarah Arab Saudi, namun ia tidak setinggi yang dijangkakan. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan defisit sebanyak US$ 130 bilion.

Pendapatan negara tersebut menyaksikan penyusutan yang mendadak berikutan harga minyak yang jatuh lebih daripada 60% sejak pertengahan tahun 2014 kepada kurang US$ 40 setong.

Jumlah hasil awam juga mencatat paras paling rendah semenjak tahun 2009 berikutan harga minyak yang turut mengakibatkan krisis kewangan global. Pendapatan Arab Saudi pada tahun 2015 adalah 15% lebih rendah dari unjuran dan 42% lebih rendah berbanding pada tahun 2014.

Bagi menangani situasi ini, negara Arab berkenaan telah menetapkan harga sebanyak 0.90 Riyal (US$ 0.24) bagi petrol 95 oktana dari 0.60 Riyal setiap liter – menyaksikan peningkatan sebanyak 40%. Kenaikan harga ini berkuatkuasa pada hari Selasa, memetik agensi rasmi berita SPA melalui laman Twitter.

Keputusan itu dibuat beberapa jam selepas Kementerian Kewangan mengeluarkan kenyataan untuk mengurangkan subsidi tenaga elektrik, air, diesel dan minyak tanah dalam tempoh lima tahun akan datang.

Mengapa OPEC enggan mengurangkan pengeluaran minyak?

Hasil pendapatan dianggarkan berjumlah US$ 162 bilion – jauh dari nilai unjuran dan pendapatan tahun 2014. Sementara nilai perbelanjaan pula berjumlah US$ 260 bilion, kata pegawai rasmi Kementerian Kewangan Arab Saudi dalam satu sidang akhbar di Riyadh.

“Sebanyak 80%-90% sumber pendapatan negara datang dari sektor minyak,” jelas Walid Arab Hashem, seorang pakar ekonomi dan bekas ahli Majlis Syura Arab Saudi kepada Al-Jazeera.

Namun, Arab Saudi mempunyai rizab asing yang tinggi iaitu melebihi US$ 700 bilion yang boleh digunakan untuk mengimbangi jurang dalam bajet berkenaan.

“Kerajaan juga boleh mengeluarkan beberapa bon untuk membuat pinjaman namun ia bergantung kepada penyelesaian yang dilihat terbaik kepada negara,” katanya lagi.

Rizab yang besar

Berdasarkan bajet yang dibuat, sebarang perubahan yang akan dilakukan, akan distruktur bagi mengurangkan kesan yang negatif kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Beberapa penstrukturan baharu ekonomi termasuklah “penswastaan beberapa sektor dan aktiviti ekonomi” – kata Kementerian Kewangan namun butiran mengenainya tidak didedahkan.

“Jika dilihat kepada perbelanjaan sebenar pada tahun 2016, ianya hampir sama dengan bajet pada tahun 2015,” tambah Hashem. “Tiada tekanan kepada sektor perbankan.”

Riyadh membuat perbelanjaan besar pada tahun ini dengan melancarkan campur tangan tentera di Yaman dan ianya menelan kos yang tinggi.

“Saya tidak fikir Arab Saudi berada dalam situasi yang buruk. Ia mempunyai sektor ekonomi yang mantap dan rizab yang banyak sejak tahun 2005.”

“Rizab berkenaan mencukupi untuk beberapa tahun walaupun kerajaan menggunakan US$ 100 bilion setahun.”

Ahli-ahli Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Petroleum (OPEC) telah mengekalkan pengeluaran yang tinggi walaupun menerima permohonan beberapa negara ahli seperti Venezuela untuk mengurangkan pengeluaran bagi memulihkan harga minyak.

“US$ 140 setong tidak akan berkekalan begitu juga dengan harga US$ 30-45 setong. Ia akan berubah,” ujar Hashem.

“Arab Saudi menggunakan kos yang rendah untuk memproses minyak. Jadi, dimana logiknya untuk kita menaikan harga minyak sedangkan Rusia, Amerika Syarikat mahupun Iran dan Iraq – yang kos pengeluaran minyak mereka lebih tinggi – mengekalkan harga mereka.

Terjemahan : JASA
Sumber : Al Jazeera

P/s : Mujur semenjak DS Najib menjadi Perdana Menteri, beliau telah melakukan pelbagai langkah yang sudah pasti tidak popular demi mempelbagaikan sumber pendapatan negara.  Jika kita masih berantung lebih 40% pendapatan negara melalui hasil petroleum seperti sebelum 2009, sudah tentu keadaan kita menjadi lebih parah.  Tahun depan, hasil petroleum dijangka menyumbang kurang dari 14% daripada pendapatan negara.  Jika dunia tahu kita bukan lagi terlalu bergantung pada sumber petroleum, tentu kejatuhan harga minyak dimasa akan datang hanya akan memberikan kesan minima keatas nilai ringgit.