Kira-kira empat hari lagi, tahun 2015 akan meninggalkan kita. Pelbagai kenangan pastinya akan menjadi memori kita dan arena politik tanah air juga tidak terkecuali. Pelbagai perkembangan politik telah berlaku sepanjang tahun ini. Ada yang manis untuk dikenang dan ada pula yang konfliknya tidak pernah surut sehingga hari ini.

Pihak auditorial PRU 14 hari ini menyenaraikan 10 senario politik tanah air yang sentiasa menjadi sebutan sepanjang tahun ini.

1. Pilihanraya Kecil Parlimen Rompin

download (9)

Tahun ini menyaksikan beberapa Pilihanraya Kecil dan Rompin benar-benar menarik perhatian. Kematian Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis dalam satu kemalangan helikopter di Semenyih telah membawa Pilihanraya Kecil Parlimen Rompin yang menemukan PAS dan UMNO. Dalam pengundian yang dilakukan pada 5 Mei ini menyaksikan Datuk Hasan Arifin memenangi kerusi ini.

Namun disebalik semua itu, disinilah belang 6 orang sayap Pemuda UMNO terdedah dimana mereka secara tertutup menyatakan “pemberontakan” mereka terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berikutan serangan Tun Dr Mahathir dalam isu 1MDB.

2. Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh

images (14)

Pilihanraya kecil ini dilihat sebagai hidup mati keluarga Datuk Seri Anwar di kawasan yang telah menjadi kubu kuatnya sejak sekian lama. Di tentang oleh seorang anak tempatan, Suhaimi Sabudin, Datin Seri Wan Azizah dilihat agak goyah sementelah beliau juga adalah calon bidan terjun yang hanya dipercayai oleh Anwar.

Dalam pilihanraya ini, Wan Azizah berjaya juga mengekalkan kerusi berkenaan namun dilihat oleh pemerhati politik sebagai satu kekalahan kerana majoriti yang diterima oleh beliau jauh merosot berbanding Pilihanraya Umum yang ke 13 lalu.

Namun, di pihak Barisan Nasional, tindakan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang dilihat seolah-olah mensabotaj usaha saat-saat akhir Barisan Nasional dalam pilihanraya ini pastinya akan tetap dikenang. Pada 6 Mei, sehari sebelum hari pengundian, beliau secara terbuka mendakwa, kerajaan telah memperguna Tabung Haji untuk sebidang tanah di Tun Razak Exchange (TRX). Impaknya, bukan sedikit dan sehingga kini beliau masih gagal mengemukakan bukti terhadap dakwaannya.

3. Kematian Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

download (10)

Ikon politik PAS, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat telah meninggal dunia pada 12 Februari. Berita kematian beliau ini nyata begitu menghibakan bagi semua ahli PAS dan hampir seluruh rakyat Malaysia. Pada hari pengebumiannya, dianggarkan kira-kira 5 ribu orang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada beliau.

Berikutan kematian beliau, DUN Chempaka yang disandang beliau sejak 22 tahun lalu dipertandingkan. Ini menyaksikan Ustaz Ahmad Fathan Mahmood menang besar dengan majoriti 10,092 undi dengan Barisan Nasional tidak bertanding di kerusi ini sebagai tanda menghormati pemergian Nik Abdul Aziz.

4. Krisis Politik Selangor

images (15)

Azmin Ali (kini Datuk Seri) nyata tidak pernah putus-putus berhadapan dengan cabaran sepanjang menduduki kerusi panas selaku Menteri Besar Selangor. Kerenah dua buah parti, DAP dan PAS nyata begitu memeningkan kepala beliau apabila dilihat bercakaran sepanjang bulan April dan Mei tahun ini.

Masing-masing dilihat menjulang ego masing-masing kerana dipercayai perlantikan Azmin bukan seperti yang dihajatkan oleh DAP. DAP lebih berminat melihat Datin Seri Wan Azizah menjadi Menteri Besar namun PAS lebih berminat menyokong Datuk Seri Azmin. Konflik berpanjangan yang sudah bermula pada September 2014 ini nyata banyak menimbulkan kekeliruan dikalangan rakyat negeri Selangor.

5. Muktamar PAS 2015

images (16)

Siapa yang dapat melupakan bagaimana tegangnya Muktamar PAS pada kali ini. Ini berikutan semua kerusi barisan kepimpinan PAS dipertandingkan untuk penggal 2015/2017 dengan kerusi Presiden PAS juga turut dipertandingkan. Buat kali pertama dalam sejarah, dua kelompok utama wujud dalam PAS iaitu pro ulama dan pro liberal.

Hasilnya, pada pemilihan ini, pasukan pro Ulama yang diketuai oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya mengekalkan penguasaan mereka didalam PAS. Malah menerusi muktamar ini juga, dua perkara besar telah terjadi yang sedikit sebanyak telah menggugat kekuatan PAS secara amnya.

Dua perkara berkenaan adalah tindakan Mat Sabu yang secara terang-terangan menentang kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi dengan idealogi PasMAnya sehingga menyebabkan ahli PAS terpecah. Menerusi Muktamar ini juga PAS akhirnya bertindak memutuskan sebarang hubungan dengan DAP berikutan beberapa tindakan DAP yang seolah-olah menghina PAS.

6. Kelahiran Parti Amanah Negara dan Pakatan Harapan

download (11)

Impak dari keputusan Muktamar PAS 2015, Mat Sabu bertindak menubuhkan sebuah parti serpihan PAS dan ianya bukan semudah yang disangka. Pelbagai halangan timbul walaupun rata-rata pemerhati politik menyifatkan tindakan Mat Sabu ini dibiayai sepenuhnya oleh DAP.

Namun pada 30 Ogos lalu, Mat Sabu akhirnya berjaya menubuhkan Parti Amanah Negara setelah melalui pelbagai halangan. Kemuncaknya, pada 16 September 2015, Lim Kit Siang beserta Datin Seri Wan Azizah dan Mat Sabu sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan pakatan baru pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Harapan.

Penubuhan Pakatan Harapan ini dilihat sebagai pengganti Pakatan Rakyat yang telah terkubur pada sekitar awal Ogos lalu dimana bagi DAP dan PKR, PAS telah mengkhianati perjuangan mereka dalam menjatuhkan Barisan Nasional. Oleh kerana itu, penubuhan Pakatan Harapan telah menyingkirkan PAS secara terus dari pakatan baru ini.

7. Rombakan Kabinet

images (17)

Pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Shafie Apdal dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menjadi bualan hangat bagi kebanyakan pemerhati politik. Pengguguran ini dilihat sebagai reaksi balas kabinet terhadap pelbagai tohmahan dan dakwaan yang dilemparkan oleh dua individu berkenaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib.

Impak dari pengguguran ini bukan sedikit. Seolah-olah menanggung dendam kesumat terhadap Datuk Seri Mohd Najib, kedua-dua individu ini sehingga kini begitu giat memperlekehkan pentadbiran Datuk Seri Mohd Najib sehingga menyebabkan UMNO mengalami pergolakan dalaman.

8. Tindakan Kumpulan Enam

images (18)

Tindakan Tun Dr Mahathir bersama-sama 5 orang lagi ahli politik Barisan Nasional mengadakan sidang akhbar khas di Wisma Kepimpinan Perdana di Putrajaya, seolah-olah klimak terhadap semua dakwaan yang mereka tujukan kepada Datuk Seri Mohd Najib.

Dihadiri oleh Tun M sendiri bersama-sama Tan Sri Tengku Razaliegh Hamzah, Tan Sri Sanusi Joned, Tan Sri Ong Tee Keat, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal, mereka melemparkan pelbagai dakwaan salah laku namun pada sidang media berkenaan, mereka langsung tidak mengemukakan sebarang bukti terhadap dakwaan mereka.

Bagi kebanyakan netizen, tindakan ini tidak lebih dari sekadar tindakan terdesak mereka untuk terus memastikan setiap dakwaan yang mereka lemparkan kekal relevan dan diterima oleh para penyokong mereka.

9. Kelainan Perhimpunan Agung UMNO 2015

download (12)

Perhimpunan Agung UMNO kali ini sentiasa menjadi bahan buah mulut samada dari kalangan ahlinya sendiri mahupun dikalangan pembangkang. Masakan tidak, pergolakan dalaman UMNO yang dicetuskan oleh Tun M yang mahu menjatuhkan Datuk Seri Mohd Najib menerusi pelbagai cara nyata menghiasi perhimpunan kali ini.

Ini ditambah lagi dengan keputusan Majlis Tertinggi yang mahu semua Ketua Sayap Parti merasmikan perhimpunan Agung masing-masing diluar daripada tradisi yang diamalkan UMNO sebelum ini, dimana Timbalan Presiden merasmikan semua perhimpunan sayap parti.

Walaupun pada awalnya dilihat agak janggal, namun ianya tidak menghalang kelancaran perhimpunan ini dimana semua pihak menyambut baik pembaharuan yang dilakukan oleh UMNO pada kali ini. Malah, ketiadaan Pemilihan Agung UMNO yang dijadual diadakan pada tahun ini juga tidak mencacatkan perhimpunan ini. Untuk rekod, Pemilihan Agung UMNO ditangguhkan sehingga tahun 2018, seperti yang dipersetujui oleh Majlis Tertinggi.

10. Kerjasama UMNO – PAS

images (19)

Sejak dari 1978, baik UMNO mahupun PAS, mereka seolah-olah berkerat rotan berpatah arang dan kelihatan tidak akan mungkin dapat kembali bekerjasama dalam bidang politik. Namun menerusi seruan pendamaian dan silaturahim yang dihulurkan oleh Datuk Seri Mohd Najib pada Perhimpunan Agung UMNO lalu, nyata telah membuka lembaran baru terhadap hubungan dua hala PAS dan UMNO.

Pelbagai perkhabaran dibawa oleh kedua-dua belah pihak yang majoritinya menyambut baik pendamaian dan kerjasama berkenaan. Ini ditambah pula dengan kehadiran Datuk Seri Mohd Najib dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada satu pentas di Multaqa Aluni Al Azhar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Nyata, ianya telah membuka lembaran baru terhadap perkembangan politik negara dan ini menjanjikan kesepakatan ummah dan orang-orang Melayu dapat ditingkatkan disaat pelbagai cabaran dan fitnah begitu mudah berlegar mempengaruhi rakyat hari ini.