Antara Umno dengan PAS, parti manakah yang ingin sangat bekerjasama?

Antara Datuk Seri Najib Razak dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula, siapakah yang paling mahu jalinan kerjasama itu?

Siapakah yang lebih mendapat manfaat jika kerjasama itu menjadi kenyataan – Najib dan Umno atau Hadi dan PAS?

Adakah kedudukan Melayu dan Islam benar-benar mendapat untung daripada kerjasama itu?

Barangkali soalan-soalan di atas adalah pertanyaan lazim mengenai kerjasama Umno dengan PAS yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.

Walaupun mungkin ramai mengatakan Najib lebih ke depan penonjolannya dari segi inginkan kerjasama itu, terutama bagi menyelamatkan survival politiknya, terdapat juga sebilangan lain menyatakan PAS juga perlukan kerjasama tersebut untuk masa depannya.

Dalam konteks Najib dan Umno, keperluan kerjasama itu sangat mudah difahami berikutan serangan daripada Tun Dr Mahathir Mohamad yang berterusan sejak sekian lama dan pelbagai isu melanda negara lebih memungkinkan parti itu kehilangan kuasanya dalam pilihan raya akan datang ini.

Berdasarkan perkembangan semasa, hanya dengan menjalin kerjasama bersama PAS sahajalah yang memungkinkan Najib dan Umno boleh terus kekal menggenggam kuasa.

Bagi PAS pula, kerjasama ini hanya dilihat untuk memulihkan imejnya yang berpecah dengan kumpulan progresif sehingga tertubuhnya Parti Amanah Negara (Amanah) dan juga berikutan keputusan tidak mahu menyertai Pakatan Harapan yang ditubuhkan bagi menggantikan Pakatan Rakyat.

Hadi yang kepimpinannya paling dipertikaikan sejak kebelakangan ini sekurang-kurangnya dapat menunjukkan kepada musuh-musuh PAS yang diterajuinya masih lagi menjadi buruan dalam penentuan kuasa dalam negara ini.

Cuma, dalam konteks keuntungan kepada Melayu dan Islam masih kedengaran pertikaian di mana-mana.

Sementara ada yang mengatakan kerjasama itu akan melonjakkan maruah Melayu dan Islam, pihak lain agak skeptikal dengannya sambil menyatakan ia sesuatu yang masih kabur lagi.

Bagaimanapun, mahu tidak mahu, Umno dan PAS mesti menyedari kerjasama ini adalah perkara besar kepada kedua-dua parti tersebut.

Ia bukan perkara main-main kerana implikasinya kepada kedua-dua pihak juga bukan sedikit.

Paling tidak, implikasinya kepada Umno yang perlu diambil kira ialah dari segi penerimaan ahli di peringkat bawahan, hubungan dengan parti-parti komponen bukan Melayu dalam Barisan Nasional (BN), kesannya kepada senario politik di Sabah dan Sarawak serta pembahagian kerusi dalam pilihan raya.

Kepada PAS, selain penerimaan ahli peringkat bawahan dan pembahagian kerusi pilihan raya, kerjasama dengan Umno tentunya membawa kesan sama kepada tahaluf siyasinya dengan PKR di Selangor sekarang ini.

PAS menolak menyertai Pakatan Harapan kerana tidak sebulu dengan DAP dan Amanah tetapi dalam masa yang sama kekal meneruskan pakatan kerjasamanya dengan PKR di Selangor.

Apakah jika memilih untuk “cium mulut” dengan Umno, PAS sudah sedia berundur daripada semua kedudukan dalam kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, daripada jawatan exco, jawatan di pelbagai anak syarikat GLC hinggalah ke peringkat ketua kampung yang sedang dipegangnya?

Dalam hal ini, untuk membolehkan kerjasama itu benar-benar konkrit dan bukan merupakan keputusan pihak atasan semata-mata, adalah wajar Umno dan PAS mengadakan referendum di kalangan ahli-ahlinya atau mengadakan perhimpunan khas untuk mendapat persetujuan mengenainya.

Selain implikasi yang disebutkan itu, harus juga disedari perbalahan politik antara Umno dengan PAS bukan sekadar berbeza ideologi dan berebut kuasa semata-mata, tetapi rentetannya turut merebak sehingga adanya perpecahan dalam keluarga, kampung, surau, masjid dan di satu peringkat turut melibatkan tuduh-menuduh dari segi akidah.

Dari segi tekanan dan mangsa kuasa, bukan sedikit pula yang menderita, teraniaya dan sengsara malah ada yang sehingga kehilangan nyawa.

Lantaran itu, kalau pun perlu sangat untuk Umno dan PAS bekerjasama bagi menyesuaikan dengan keperluan serta realiti semasa, keputusannya tidak harus hanya melibatkan peringkat atasan saja dan memangsakan ahli serta penyokong di peringkat bawahan.