Assalamualaikum wbk,

Alhamdulillah, kelmarin bermula Perhimpunan Agung UMNO (P AU) 2015, PAU kali ini dilihat mempunyai cabaran tersendiri berbanding tahun tahun sebelum ini. Dalam menuju tarikh PAU2015, kita dapat melihat berbagai usaha telah dibuat bagi tujuan melakukan provokasi dan kekacauan HALUS dengan niat membakar emosi ahli UMNO untuk membenci Dato Seri Mohd Najib (DSN) sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.

Melalui satu entri pada 30 Nov, Tun Dr Mahathir Mohamad (TDM) sekali lagi telah menyebarkan fitnah melalui surat terbuka yang disebar melalui blog beliau, http://chedet.cc/.  Kali ini TDM memberi tumpuan khusus kepada ahli dan pemimpin UMNO bersempena PAU 2015, hanya ALLAH dan TDM sahaja tahu niat sebenar TDM dalam menyebar fitnah kali ini. Dalam entri TDM, pelbagai tuduhan fitnah kitar semula ditimbulkan bagi tujuan menjatuhkan IMEJ DSN.

Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO,

3.3 Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebangsaan beragama

Mengembangkan ISLAM bukan sekadar amalan solat, puasa, zakat dan lain lain. Ia juga meliputi kesemua amal perbuatan harian kita termasuk perbuatan dalam perjuangan kita. Sebagai umat ISLAM, ALLAH mengajar kita supaya taat kepada pemimpin melalui dalilnya “Wahai orang-orang yang beriman, Taatlah kamu kepada ALLAH dan Taatlah kamu kepada RasuluLLAH dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Surah al-Nisaa ayat ke-59. Dan dalil dari baginda nabi Muhammad SAW “Barangsiapa melepaskan ketaatan dari pemimpin, dia akan berjumpa dengan ALLAH pada hari kiamat tanpa mempunyai hujjah (alasan)”. (Hadis Riwayat Muslim. Kitabul Imarah, syarah Nawawi 12/240). Setiap ahli UMNO wajar mengetahui bahawa apabila kita mentaati DSN sebagai pemimpin bukannya bermaksud UMNO ini milik DSN, akan tetapi ia adalah kerana tuntutan agama dan selari dengan Fasal 3.3. Oleh itu fitnah TDM bahawa UMNO milik DSN sebagai Presiden UMNO dan kesetian terhad kepada presiden semata amata adalah satu fitnah jahat kerana jika kita semua setia pada parti, kita sema wajib tahu Fasal 3.3 disamping ISLAM menyuruh kita taat kepada pemimpin.

Ketika Baginda Nabi Muhammad SAW sampai di Madinah, satu usaha telah dilakukan dengan cara mengubal Perlembagaan Piagam Madinah bagi tujuan mewujudkan keamanan, menjamin perpaduan dan memberi keadilan di kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama ketika itu. Secara tidak langsung tindakan ini bertujuan memperkukuhkan kedudukan pelbagai kaum dan agama di Madinah. Setelah DSN dilantik menjadi PM Malaysia, beliau berpandangan jauh dengan mengambil iktibar kekacauan yang mungkin bakal berlaku dan pernah ditimbulkan oleh DAP akibat dari peristiwa 1969. Sebagai umat baginda nabi Muhammad SAW, DSN telah mengambil semangat dan iktibar dari tujuan Piagam Madinah digubal lalu beliau menubuhkan Gagasan 1Malaysia.

Jika Gagasan 1Malaysia masih tetap memperjuangkan Perkara 3 (Agama Islam sebagai agama Persekutuan), Perkara 4, Perkara 152 (Bahasa Malaysia), Perkara 153 (memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera mana-mana Negeri Borneo ), Bahagian 2 dan Bahagian 3. Keadaan amat berbeza dengan slogan Malaysian Malaysia yang dihidupkan oleh Lee Kuan Yew dan diperjuangkan oleh Lim Kit Siang. Malaysian Malaysia pula menentang kesemua Perkara dan Bahagian yang diperjuangkan oleh Gagasan 1Malaysia. Dari sini kita semua ahli UMNO dapat fahami bahawa perjuangan Malaysian Malaysia telah pergi jauh dari batas persoalan etnik dan turut merangkumi isu agama yang memungkinkan ISLAM direndahkan martabat seperti yang berlaku di Singapura.

Sabagai ahli UMNO. kita semua amat sedih apabila Ayahanda mantan PM kita, TDM sanggup menutup mata dan mengenepikan kebaikkan Gagasan 1 Malaysia sehingga berusaha mempengaruhi ahli dan pemimpin UMNO lain agar terpengaruh dengan fitnah yang dibuat oleh TDM dengan mengatakan Gagasan 1Malaysia adalah sama dengan slogan Malaysian Malaysia.

Semasa peristiwa hijrah ke Madinah. Kekasih yang amat kita muliakan, baginda nabi Muhammad SAW dan Saidina Abu Bakar telah mengupah seorang laki laki MUSYRIK dari Bani Ad Diil bagi membantu memudahkan urusan perjalanan penghijrahan ke Madinah (Mafhum hadis riwayat AL Bukhari). Dan pada 1986, ayahanda yang kita kasihi TDM pula telah mengupah sebuah syarikat YAHUDI Satchi & Satchi bagi membantu TDM dalam urusan politik dalam memberi kemenangan UMNO dalam PRU, kemudiannya TSMY juga melalui Kementerian Pendidikan telah mengupah pakar luar sebanyak rm20 juta bagi membantunya dalam urusan Pelan Pembangunan Pendidikan. Walaubagaimanapun Ayahanda TDM amat BIAS dan bertindak tidak adil apabila berusaha menyebarkan kebencian terhadap DSN diatas keputusan pentadbiran negara mengupah pihak luar dalam membantu memberi nasihat. Disebabkan perasaan kebencian memenuhi diri TDM telah menyebabkan beliau sanggup mengherdik dan menghina amalan pentadbiran yang diamalkan oleh DSN walaupun wujud dalil agama yang membenarkan perbuatan tersebut dan TDM sendiri pernah melakukannya sewaktu beliau menjadi PM Malaysia.

Pada 6 Februari 2006, Singapura sedia bekerjasama dengan Malaysia untuk meneruskan pembinaan jambatan bengkok tetapi meletakkan dua syarat iaitu Kerajaan Malaysia perlu menjual pasir kepada Republik Singapura dan membuka ruang udara Johor untuk keperluan latihan jet pejuang Singapura. Kemudian Jabatan Peguam Negara Malaysia mendapati bahawa Malaysia tidak boleh membina jambatan berkenaan secara bersendirian (unilateral) kerana terikat dengan Perjanjian Air Johor-Singapura, Perjanjian Wayleave dan Perjanjian Pemisahan 1965 (ASTRO Awani). DSN sebagai PM Malaysia tidak boleh sewenang wenangnya menggadaikan ruang udara Johor semata mata ingin memenuhi hasrat TDM dalam membina Jambatan Bengkok, malah jika Malaysia menjual pasir kepada Singapura, maka sudah tentu kemudian hari nanti pasir tersebut akan digunakan bagi menambat laut dan akhirnya akan memberi kesan kepada Johor sepertimana  sebelum ini Singapura telah menambak laut di Tuas dan Pulau Tekong Besar sehingga menjejaskan perairan Selat Tebrau. Adakah ini yang kita sebagai ahli UMNO mahukan? DSN tidak meneruskan pembinaan Jambatan Bengkok bukan kerana tunduk kepada Singapura seperti fitnah TDM, akan tetapi jika DSN meneruskan pembinaan jambatan bengkok, maka Malaysia terpaksa tunduk kepada 2 tuntutan Singapura dan kemudian terpaksa berhadapan dengan implikasi mungkir janji perjanjian air yang ditandatangi antara  kedua buah negara seperti nasihat Peguam Negara Malaysia.

Dalam Buletin Suku Tahunan terbitan Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan kebanyakkan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) melabur di luar negara untuk tujuan mempelbagaikan risiko dan meningkatkan pulangan. Pelaburan luar negeri semakin dianggap sebagai strategi penting untuk memaksimumkan pertumbuhan syarikat dari segi hasil, keuntungan dan bahagian pasaran eksport. Sepatutnya tiada isu apabila pinjaman dibuat oleh mana mana GLC dan dilabur diluar negara termasuk yang diamalkan oleh 1MDB. Keadaan ini menjadi isu yang hangat diperkatakan kerana TDM sedang menumpukan usaha dalam menjatuhkan DSN sebagai Presiden dan PM kita. Oleh itu TDM sentiasa berusaha menimbulkan kegusaran dan perasaan syak wasangka di kalangan kita ahli dan pemimpin UMNO berkaitan isu ini terhadap kepimpinan PM DSN. Harapan TDM agar kita semua sebagai ahli UMNO terpengaruh dengan fitnah TDM dan beramai ramai mengambil tindakan untuk menjatuhkan DSN dari kedudukan PM Malaysia.

Pada 27 Okt 201 Astro Awani telah melaporkan syarikat pembangunan strategik, 1Malaysia Development Bhd (1MDB), tidak pernah gagal membayar balik pinjamannya dan komited sepenuhnya dalam melunaskan hutangnya sebanyak RM42 bilion. Pada 2015, pihak 1MDB telah membayar balik pinjaman pokok dan juga faedah, malah akaun 1MDB yang telah diaudit dan boleh diperolehi orang ramai mulai 31 Mac 2010 hingga 31 Mac 2014 menunjukkan jumlah hutangnya berjumlah RM42 bilion. Kemudian pada Februari 2015, 1MDB telah berupaya membayar balik pinjaman RM2 bilion kepada satu konsortium bank tempatan dan RM800 juta bayaran balik pinjaman pokok berkaitan hutang dengan bank tempatan lain. Pada Jun 2015 pula, 1MDB telah berjaya membayar balik RM3.6 bilion atau US$975 juta pinjaman kepada satu konsortium bank asing diketuai Deutsche Bank. Walaupun penjelasan telah dibuat oleh pihak 1MDB dan dilaporkan pula di Astro Awani, TDM masih tidak mahu menerima hakikat fakta ini dan masih berusaha menyebarkan fitnah berkaitan 1MDB agar kita semua terpengaruh dengan usaha songsang TDM. Berbaloikah kita semua wahai ahli UMNO hidup dengan fitnah yang dibuat oleh TDM terhadap PM DSN?

Bersambung…

Salam perjuangan,
Dato’ Hj Zein Isma Hj Ismail
Ketua Penerangan UMNO Selangor /
Ketua UMNO Bahagian subang

Kota Damansara
Rabu 9 Disember 2015; 15:22hr